Saturday, 20 September 2014

Sistem Ekonomi Dahulu Hingga Kini

SISTEM EKONOMI DI MALAYSIA DULU HINGG KINI
Berdasarkan daripada fakta sejarah, kegiatan ekonomi di Tanah Melayu bermula sejak dari zaman logam lagi. Pada ketika itu, kegiatan ekonomi yang dijalankan dalam bentuk pertanian bercucuk tanam dan penternakan. Pertanian merupakan asas dan asal ekonomi hampir keseluruhan negara di dunia ini. Malangnya, akibat perubahan masa struktur ekonomi ini telah berubah dengan memasukkan sektor perindustrian dan sektor-sektor lain. Ianya berlaku sama ada secara sengaja atau secara sendiri. Oleh itu, terdapat beberapa perkembangan ekonomi yang boleh kita ketahui iaitu era pra penjajahan, era penjajahan, era kemerdekaan dan era baru kini.
Pada era prapenjajahan, bercucuk tanam dan penternakan adalah satu kegiatan sara diri yang menandakan bermulanya kehidupan yang saling bergantungan antara satu sama lain. Contoh barang-barang yang diperdagangkan pada era ini ialah emas, manik, besi, bijih timah, daging dan rempah ratus. Maka wujud beberapa pusat perdagangan menjadi tumpuan pedagang luar seperti di Guar Kepah dan Pengkalan Bujang, Jederam Hilir (Selangor) dan Kuala Selinsing (Perak).
Selain itu, pembukaan Melaka oleh Parameswara telah membuka lembaran baru dalam sejarah politik dan ekonomi semenanjung Malaysia. Parameswara dinyatakan oleh para sejarawan mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira penghujung abad ke-14. Apabila beberapa buah kerajaan Melayu tua seperti kerajaan Kedah Tua ditubuhkan kegiatan ekonomi bertambah rancak sehingga menjadi pelabuhan antarabangsa dengan kapal-kapal dari India, China, dan Asia Barat singgah untuk berlabuh.
Dari segi pertanian, penanaman padi dan tanaman lain termasuklah kelapa, pisang dan buah-buahan dijalankan secara tradisional dan secara kecil-kecilan. Kegiatan ekonomi umumnya didapati melalui gotong-royong , buruh keluarga dan sebahagiannya melalui tenaga kerahan. Pembesar negeri atau golongan bangsawan biasanya memungut cukai hasil pertanian dan barang dagangan sebagai hasil negara.
Seterusnya, pada era penjajahan pula Tanah Melayu telah dijajah kuasa asing selama 446 tahun bermula pada tahun 1511 sehingga 31 Ogos 1957 yang melibatkan negara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Hal ini demikian, barang-barang yang diminati di Eropah adalah emas, rempah dan kain sutera. Mereka telah meninjau dan menguasai kekayaan tersebut apabila melihat kemakmuran dan kepesatan ekonomi di samping kedudukan strategik iaitu di tengah-tengah jalan laut timur barat. Portugis dan Belanda menjajah Tanah Melayu selama 313 tahun. Namun begitu penjajahan mereka di negara kita kurang memberi kesan kepada ekonomi negara kecuali penerusan aktiviti yang telah sedia ada, kerana tidak bertindak untuk mengeksploitasi sumber secara besar-besaran. Pada tahun 1824, Perjanjian Inggeris-Belanda telah membuka era penjajahan British di Tanah Melayu. Bermula pada saat itu berlaku perubahan besar dalam ekonomi hasil daripada campur tangan British ke atas hal ehwal ekonomi, politik dan sosial Tanah Melayu dan sekali gus mengubah struktur ekonomi dan politik Tanah Melayu. Tanah Melayu dikuasai oleh Inggeris tidak melalui kekerasan atau peperangan tetapi melalui sistem diplomasi melalui sistem penasihat. Kuasa pemerintah terlucut sedikit demi sedikit daripada raja yang memerintah. Seterusnya, sektor perlombongan beralih tangan kepada pemodal-pemodal Inggeris apabila mereka mempunyai keupayaan modal. Para pemodal Inggeris, telah menguasai lebih 65 peratus daripada jumlah keluaran timah dan lebih daripada 75 peratus kawasan perladangan getah di negara ini pada tahun 1930an dan makin meningkat sehingga negara merdeka.
Disamping itu, pada era kemerdekaan ekonomi Malaysia bergantung pada pengeluaran dan eksport getah dan bijih timah. Pengeluaran dan eksport kedua-dua komoditi ini adalah yang terpenting pada awal tahun 1960an. Walaupun Malaysia merupakan pengeluar terbesar kedua-dua komoditi tersebut, harga getah adalah di luar kawalannya. Ia dipengaruhi oleh pembeli iaitu negara-negara maju. Bagi mengurangkan masalah yang dihadapi berikutan turun naik harga, struktur ekonomi negara perlu diubah suai. Rancangan ekonomi yang pertama (RPE 1) atau juga dikenali sebagai Rancangan Malaya ekonomi yang meliputi tahun 1956-60 buat kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan. Pada tahun 1956 lembaga kemajuan Tanah persekutuan (FELDA) ditubuhkan bertujuan untuk mengatasi masalah petani yang kekurangan Tanah di samping meningkatkan pendapatan dan kehidupan keluarga petani. Pada dekat 1980an merupakan dekad yang penuh cabaran bagi ekonomi Malaysia. Untuk menggerakkan ekonomi, kerajaan mengambil langkah melibatkan diri dalambeberapa bidang industri berat. Penglibatan ini adalah juga bagi mengurangkan pergantungan ke atas import barangan modal dan memodenkan serta mempelbagaikan lagi sektor perkilangan.  Penglibatan langsung kerajaan dalam kegiatan ekonomi ketika ekonomi dunia dilanda kemelesetan telah membawa beberapa masalah kepada ekonomi negara. Keadaan menjadi lebih teruk berikutan kejatuhan hampir kesemua harga komoditi utama pada tahun 1985 disebabkan oleh kemelesetan ekonomi. Ianya juga turut menjejaskan kedudukan kewangan negara. RPE2 dilancarkan pada tahun 1991. Namun kedua-dua RPE masih memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang merupakan tunjang ekonomi Malaysia pada ketika itu.
Era Baru Kini
Di alam tahun 2007, ekonomi Malaysia adalah negara yang mempunyai ekonomi ke-29 terbesar di dunia. Ada dua konsep yang digunakan untuk mengukur pendapatan negara iaitu Keluaran Negara Kasar (KNK)  dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kedua- dua konsep ini dipanggil kasar kerana nilai tersebut termasuk susut nilai. Keluaran dalam negara kasar bagi tahun 2007 dianggarkan berjumlah $357.9 bilion dengan suatu kadar tumbesaran sebanyak 5% hingga 7% semenjak 2007. KNK mengukur nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh factor-faktor pengeluaran yang dimiliki oleh sesebuah negara, sama ada mereka berada dalam negara itu sendiri ataupun di luar negara. Faktor-faktor pengeluaran di sini yang bermaksud sumber-sumber yang menghasilkan barangan dan perkhidmatan tersebut iaitu  sumber asli seperti tanah, modal, tenaga buruh dan pengurusan. Contohnya ialah terdapat rakyat Malaysia yang bekerja di Amerika. Pendapatan yang dihantar balik oleh pekerja ini akan diambil kira pendapatan yang dihasilkan oleh warganegara kita, sebarang pendapatan yang diperoleh oleh warganegara asing di negara kita tidak merupakan sebahagian daripada KNK.
Sementara KDNK pula mengambil kira nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh semua faktor pengeluaran yang terdapat dalam sesebuah negara tanpa mengira pemiliknya. Konsep ini turut mengambil kira barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh rakyat asing yang tinggal dan bekerja di negara kita. Ianya mengukur jumlah pengeluaran dalam sesebuah negara tanpa mengira sama ada pengeluaran itu dihasilkan oleh penduduk tempatan atau luar negara. Oleh sebab itu ia dipanggil keluaran dalam negara.
Pertumbuhan ekonomi negara perlu dicapai tanpa menjejaskan sumber semula jadi Malaysia. Negara tidak akan mencapai status berpendapatan tinggi sekiranya pendapatannya hanya diperolehi daripada hasil sumber semula jadi. Selain itu, Malaysia akan berfokus kepada pelaburan yang dipacu oleh  sektor swasta supaya tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan Kerajaan. Seperti yang dinyatakan dalam  Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskalnya daripada 7 peratus pada 2009 kepada 3 peratus pada 2015. Dari aspek alam sekitar pula, kerajaan komited terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kerajaan akan memastikan bahawa sumber alam sekitar dinilai sewajarnya dan kos penuh pembangunan difahami sebelum keputusan pelaburan dilaksanakan.
Pada masa ini, sektor pembuatan iaitu perkilangan menjadi sektor utama dalam ekonomi negara. Setelah berdekad lamanya menumpukan usaha mempelbagaikan ekonomi, baik dalam sektor pertanian mahupun industry, kini ekonomi Malaysia kurang terdedah kepada turun naik harga komoditi. Sektor pembuatan juga merupakan sektor yang membantu ekonomi negara keluar daripada kemelut kemelesetan ekonomi pada tahun 1998. Sumbangan sektor ini terhadap eksport negara telah memperkukuh kedudukan rizab negara. Di samping itu, sektor perkhidmatan merupakan sektor yang menjadi semakin penting terutamanya dengan perkembangan pesat industri maklumat dan pentingnya ekonomi kepada negara. Malahan kerajaan juga telah menggalakkan pertumbuhan dalam sektor teknologi maklumat dan teknologi bio. Hal ini demikian, kedua-dua sektor ini dijangka akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan perkembangan sektor ini di arena antarabangsa.



5 comments:

  1. bagus maklumat ini.tetapi jikalau boleh senaraikan kaedah untuk meningkatkan ekonomi dalam sesebuah negara.

    ReplyDelete
  2. Kegiatan ekonomi kini macam terdapat pelbagai pekerjaan seperti?

    ReplyDelete
  3. apa perbezaan kegiatan ekonomi buat masa dahulu ngan masa sekarang??

    ReplyDelete
  4. apa beza kegiatan ekonomi dahulu dengan sekarang???

    ReplyDelete