Wednesday, 12 November 2014

Masalah yang dihadapi usahawan

Banyak dugaan yang perlu dihadapi oleh seseorang insan itu untuk menjadi usahawan yang berjaya di zaman yang serba moden ini. Bermula dari sekecil-kecil perniagaan sehinggalah sebesar-besar peniagaan, pasti ada sahaja dugaan yang menjelma. Seumpama peribahasa melayu Jika Takut Dilambung Ombak Jangan Berumah Ditepi Pantai, ungkapan tersebut amat sesuai dikaitkan di dalam dunia usahawan ini kerana usahawan perlu berani menghadapi segala rintangan dan dugaan yang akan menjelma.Usaha, doa dan tawakal amat penting bagi seseorang usahawan. Terdapat 5 masalah yang akan dihadapi oleh usahawan untuk memulakan perniagaan iaitu;

1 – Usahawan tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan

Tidak mustahil bagi seseorang usahawan yang tidak mempunyai sebarang pengalaman , atau kelayakan akademik dalam bidang perniagaan mampu berjaya di dalam perniagaan yang diceburi. Sebagai contah Tan Sri Lim Goh Tong iaitu Pengasas Genting Group merangkap hartawan Asia yang tidak mempunyai pendidikan tinggi namun berkat usaha yang tinggi, beliau mampu menjadi usahawan yang berjaya. Namun tidak mustahil juga untuk usahawan yang tiada sebarang pengalaman, atau ilmu mengalami kerugian dalm perniagaan. Oleh yang demikian kumpullah ilmu bagi menjamin kejayaan di masa depan.Terdapat banyak kursus atau seminar yang ditawarkan kepada usahawan untuk mendapatkan ilmu perniagaan, selain dari institut-institut pengajian atau kolej yang menawarkan pendidikan secara formal.

2 – Usahawan tidak mempunyai skil dalam pengurusan

Kesilapan yang dilakukan ramai usahawan ketika ini ialah, mereka hanya tahu menguruskan belanjawan syarikat untuk mendapatkan stok atau produk.Tetapi tidak mampu untuk menguruskan belanja tersebut supaya syarikat mempunyai simpanan dan wang pusingan modal yang mencukupi.

3 – Tidak menggunakan bakat secara maksimum
Sesetengah usahawan adalah pakar dalam bidang masing-masing seperti jurureka dalaman(interior designer) atau jurufoto.Sebagai usahawan yang mempunyai bakat dan kepakaran tertentu, anda harus menggunakan segala bakat tersebut secara maksimum.Ini bertujuan memastikan perniagaan yang anda jalankan mempunyai sentuhan anda sendiri, yang tentunya akan dicari oleh para pelanggan anda.Bakat yang ada tidak harus disia-siakan.

4 – Tidak bersedia bekerja lebih masa
Menjalankan perniagaan sendiri bukanlah seperti bekerja di pejabat dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang.Menjalankan perniagaan bermakna anda harus bekerja hampir 24 jam sehari (atau mungkin lebih).

5 – Tidak mendapat sokongan keluarga

Kebanyakan perniagaan yang berjaya mendapat sokongan dari keluarga.Dari segi kehidupan seorang Muslim, amat penting anda mendapatkan restu dari ibubapa sebelum memulakan sebarang perniagaan.Maklumkan mereka kenapa dan mengapa anda menjalankan perniagaan.

6 – Tidak mempunyai modal permulaan yang mencukupi
Modal permulaan bukanlah bermakna modal yang anda perlu ada, hanya untuk memulakan perniagaan semata-mata.Ia bermakna modal yang anda akan gunakan sekurang-kurangnya, sehingga anda mendapat kembali sepenuhnya modal tersebut.Modal yang paling baik adalah modal yang dapat digunakan untuk menampung perniagaan anda, untuk sekurang-kurangnya setahun dari hari ia mula beroperasi.Namun, ia berbeza-beza mengikut jenis bidang perniagaan anda.

7 – Tiada networking
Dalam apa sahaja perniagaan yang diceburi, networking ialah perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Cuba kita bayangkan sekiranya kita langsung tiada atau tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan (networking) dengan orang lain.Mungkin ada dikalangan jaringan hubungan anda akan menjadi pelanggan utama anda. Apa yang akan anda kehilangan?Dalam Islam juga mengajak umatnya menjalinkan silaturrahim sesama manusia.Hanya melalui cara ini anda dapat mengembangkan perniagaan dengan baik, dan secara halus tanpa memaksa seseorang mendapatkan produk anda.

8 – Tidak berusaha keras

Satu kerugian yang amat sangat sekiranya anda menjalankan perniagaan, tetapi anda tidak sanggup bekerja keras untuk perniagaan tersebut.Sebagai usahawan, anda seharusnya seorang yang berdisiplin dan bermotivasi tinggisupaya anda mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

9 – Tidak sanggup berhadapan krisis

Banyak dugaan yang perlu dihadapi oleh usahawan ketika menjalankan perniagaan. Dugaan ketika berhadapan dengan pesaing, ketika mengalami kejatuhan keuntungan dan pelbagai lagi yang mungkin anda hadapi. Anda perlu bijak menangani sebarang krisis yang timbul dalam menjalankan perniagaan.

10 – Terlalu fokus pada produk

Ramai usahawan sebegini. Terlalu memfokuskan pada penghasilan dan jualan produk dan meminggirkan perkara penting yang perlu difokuskan.Iaitu pemasaran dan khidmat pelanggan.Pemasaran merupakan tonggak utama produk anda terjual, manakala khidmat pelanggan pula kunci utama supaya pelanggan yang membeli, atau mendapatkan perkhidmatan anda menjadi pelanggan setia.


Setelah menjadi usahawan yang berjaya, kita perlulah mengekalkan prestasi dan meningkatkan lagi perniagaan kita. Namun untuk mengekalkan prestasi tersebut banyak masalah yang akan kita hadapi. Antaranya ialah;

1 – Kita Hilang Fokus Terhadap Apa Yang Diusahakan

Setiap perniagaan yang ingin berkembang bukan sahaja perlukan modal kewangan sahaja tetapi ia juga perlukan modal tenaga, idea, kreativiti, masa dan sebagainya. Oleh itu, ramai usahawan berjaya menyarankan agar kita tidak mengerjakan beberapa perniagaan serentak di dalam satu-satu masa kerana kita mempunyai limitasi terhadap perkara-perkara tersebut.Ketika kita asyik mengusahakan sesuatu perniagaan, maka tidak semena-mena banyak sekali peluang perniagaan lain yang nampak meyakinkan dan menguntungkan muncul. Sebelum ini tidak pernah pula kita melihat peluang keemasan sebegitu.


2 – Tidak Disiplin di Dalam Mengurus Kewangan Syarikat.

Kita seringkali mendengar bahawa kegagalan perniagaan orang Melayu disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Perkara ini memang benar kerana ada perniagaan yang pada awalnya gagal bukan kerana produk tidak bagus atau jualan yang merosot tetapi oleh kerana usahawan tersebut mengabaikan pengurusan kewangan syarikat. Entah mengapa, pengurusan kewangan seolah-olah sesuatu yang tidak penting di dalam masyarakat Melayu. Kita tidak pernah mencatat berapakah perbelanjaan harian kita, dari manakah pendapatan kita dan kemanakah duit kita dibelanjakan. Jadi apabila sang Melayu ini mula berniaga, maka jauh sekali dia akan praktikan pengurusan kewangan terhadap perniagaanya.

3- Mengabaikan Rekod Hitam & Putih

Setiap perbincangan, perjanjian atau persetujuan yang termenterai di dalam perniagaan perlulah disertakan secara bertulis. Jadikan catatan bertulis sebagai satu amalan kerana jika kita hanya bergantung kepada persetujuan lisan akan menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang.

Walaupun rakan baik anda sendiri sebagai rakan kongsi perniagaan, semuanya tetap perlu dilakukan secara bertulis, ada hitam dan putihnya. Semua perkara perlu dibincangkan dari awal agar tiada perkara berbangkit dikemudian hari, ketika perniagaan yang kita usahakan sudah berjalan dengan baik.


4- Mengabaikan pekerja atau orang bawahan

Pada era sekarang, semua majikan perlu sedar bahawa pekerja adalah aset mereka yang sangat bernilai. Malah tidak keterlaluan untuk kita menganggap bahawa pekerja kita sebagai rakan kongsi kerana merekalah yang menggerakkan syarikat kita. Kita perlu sentiasa meletakkan diri kita sebagai pekerja dan kita perlu memikirkan apa yang kita perlu dapat sebagai seorang pekerja.
5- Tidak mengutamakan pelanggan dan menganggap pelanggan mudah diperolehi.
Sebagai seorang usahawan, pelanggan merupakan orang yang paling berharga bagi mendapatkan keuntungan, tanpa pelanggan tiada gunalah kita berniaga. Namun terdapat segelintir usahawan yang memandang rendah tentang permasalahan ini.




Monday, 13 October 2014

Kebudayaan Keusahawanan Islam



Islam tinggi dengan nilai kebudayaannya. Bukan sahaja dalam kehidupan seharian malah juga dipraktikkan dalam keusahawanan. Bagi umat muslim ianya merupakan satu ibadah sekiranya kita terapkan dalam diri ciri-ciri kebudayaan Islam dalam apa jua dilakukan. Berikut merupakan contoh-contoh yang boleh kita pelajari mengenai kebudayaan keusahawanan Islam.

Mengamalkan nilai-nilai murni 

Nilai-nilai murni amat penting diamalkan dalam menjalankan keusahawanan. Masyarakat Islam sudah diajari nilai-nilai murni dan akhlak yang baik serta berbudi pekerti tinggi sejak lahiriah. Cuma perlu diterapkan dan diamalkan dalam diri masing-masing. Jaminan hanya akan diberikan kepada mereka yang jujur dan ikhlas sahaja. Dengan pengamalan nilai-nilai murni, perniagaan yang dijalankan akan mendapat keredhaan Allah swt. Dalam kita berbicara mengenai pengamalan nilai-nilai murni, berikut adalah nilai-nilai murni yang banyak disentuh dalam Al-Quran dan Hadith.
  1. Nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik 
  2. Berani menghadapi risiko 
  3. Amanah 
  4. Sabar 
  5. Bersedekah 

Konsep Ubudiyah

Islam merupakan sebuah agama yang syumul dimana tidak pernah memisahkan antara nilai-nilai agama dengan urusan niaga. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya malah juga sebagai ibadat yang akan mendapat pahala dan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Usahawan muslim tidak perlu meletakkan keuntungan material semata-mata untuk mencapai objektif. Objektif utama yang paling penting adalah mendapat keredhaan Allah swt.Jaringan perniagaan yang kukuhPada zaman Rasulullah apabila berlakunya hijrah umat Islam baginda telah membina masjid dan menyatukan antara kaum Muhajirin dan Ansar sebagai strategi untuk mengukuhkan lagi kekuatan masyarakat Islam yang masih baru lagi ketika itu di Madinah.

Tadbir urus korporat yang baik

Ianya merujuk kepada sistem sesebuah syarikat yang dikawal selia dan diurus. Lembaga pengarah adalah yang bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat manakala pemegang saham berperanan untuk melantik pengarah-pengarah dan juruaudit akan memastikan struktur yang betul sentiasa berjalan. Islam juga telah menetapkan mekanisme pengawalan yang lengkap meliputi pengawalan luaran dan kendiri. Contoh mekanisme kawalan luaran adalah persekitaran individu itu sendiri iaitu meliputi rakan sekerja, organisasi dan masyarakat.

Kreatif dan inovatif

Kreatif ialah kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea yang asli. Inovatif pula ialah perihal memulakan sesuatu yang baru. Nilai dan kreatif adalah sesuatu nilai yang amat penting bagi individu yang mengenalpasti peluang.


Wednesday, 8 October 2014

AQUA VS POCARI SWEAT

Berdasarkan video minuman kesihatan iaitu AQUA dan POCARI SWEAT yang telah saya lihat, terdapat beberapa persamaan mengenai kedua-dua jenis minuman ini. Sebelum itu, saya ingin memperkenalkan terlebih dahulu serba sedikit tentang minuman AQUA dan POCARI SWEAT.

AQUA
Minuman AQUA adalah diperkenalkan oleh Tirto Utomo. Beliau dilahirkan pada 8 Mac 1930 di Wonosobo, Jawa Tengah. Beliau berusaha keras untuk memperkenalkan minuman Aqua ini kepada orang ramai. Hal ini kerana beliau percaya air minuman ini adalah minuman kesihatan dan nilai kesihatan itu sangat mahal. Pada mulanya minuman AQUA ini tidak mendapat tarikan orang ramai kerana pada masa itu minuman berbotol merah sangat terkenal. Lebih-lebih lagi mereka mengatakan bahawa air AQUA ini adalah air mentah dan tawar.

Cara memasarkan produk minuman AQUA ini adalah dengan cara ‘door to door’, dimana pekerja akan pergi dari satu rumah ke satu rumah orang ramai dan memberikan mereka minum air itu secara percuma. Penerimaan pada masa itu sangat teruk. Sehinggakan mereka hampir putus asa. Tetapi Tirto Utomo mempunyai idea baru. Beliau telah melancarkan strategi baru di mana beliau telah menaikkan harga sebotol air AQUA tersebut kepada Rp 175. Selepas itu, peningkatan sebanyak 30% berlaku terhadap permintaan produk tersebut. Tirto Utomo juga telah bergabung dengan syarikat perusahaan multinasional iaitu Danone untuk mengembangkan lagi perusahaan air mineralnya. Kemudian, tidak lama selepas itu mereka mula didatangi oleh pesaing-pesaing baru. Walaubagaimanapun, produk AQUA masih berkembang sehingga kini.


POCARI SWEAT
Pembentukannya bermula apabila Akhihiko Otsuka iaitu pemilik Otsuka Pharmaceutical didatangi oleh seorang stafnya iaitu Rokuro Harima. Rokuro Harima merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pengembangan minumannya. Beliau juga dikenali sebagai ahli rasa. Pada ketika itu Rokuro Harima mengeluarkan sebotol cairan infus dan menyatakan ideanya kepada Akhihiko Otsuka untuk membuat produk minuman kesihatan dengan menggunakan cairan infus tersebut. Tetapi pada ketika itu Akhihiko Otsuka mengatakan bahawa produk itu perlu menunggu masa yang sesuai untuk dibuat. Setelah tiga tahun berlalu dimana Akhihiko Otsuka menjadi presiden syarikat menggantikan ayahnya, beliau telah memanggil semula pekerjanya iaitu Rokuro Harima untuk mengembangkan kembali idea yang pernah diusulkan. Pada ketika itu Rokuro Harima bersama anak buahnya iaitu Akihisa Takaichi iaitu seorang ahli penyelidik muda yang berusia 33tahun. Harima menyerahkan tugasan tersebut kepada Takaichi. Setelah tiga tahun menjalankan penyelidikan akhirnya Takaichi berjaya menghasilkan sebuah minuman yang diberi nama POCARI SWEAT. Takaichi telah melakukan lebih daripada 1000 jenis minuman untuk mencari rasa yang sesuai dengan kandungan gula kurang daripada 10% kerana pada ketika itu kebanyakan minuman lain mempunyai kandungan gula 12%.

Pemasaran yang dilakukan pada mulanya ialah ‘door to door’. Penerimaan orang ramai pada ketika itu sangat teruk. Mereka tidak dapat menerima produk minuman baru yang kurang manis. Setelah memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik, Akhihiko Otsuka telah membuat keputusan untuk memberi minuman percuma kepada orang ramai selama setahun. Pada mulanya idea tersebut mendapat tentangan daripada rakan-rakan sekerjanya. Tetapi dengan semangat berani menyahut cabaran beliau tetap melaksanakannya. Air minuman POCARI SWEAT sebenarnya air minuman kesihatan yang sesuai diminum oleh orang yang bersukan dan mengeluarkan peluh. Oleh itu sekiranya kita dalam keadaan normal dan tidak mengeluarkan peluh, air tersebut tidak menepati citarasa orang ramai. Pada masa itu fokus pemasaran adalah kepada mereka yang giat bersukan dan berpeluh. Setelah setahun produk minuman tersebut laris. Orang ramai mula menyedari kepentingan dan khasiat air minuman itu. Syarikat POCARI SWEAT mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

Persamaan antara produk minuman AQUA dan POCARI SWEAT:

1. Merupakan produk minuman kesihatan.

2. Melakukan pemasaran langsung kepada pelanggan iaitu ‘door to door’.

3. Mempunyai strategi pemasaran yang menarik. Bagi AQUA ialah meningkatkan harga jualan bagi setiap botol minuman tersebut. Manakala, POCARI SWEAT pula telah diberikan minuman secara percuma selama setahun kepada orang ramai.

4. Mendapat kesukaran dalam penerimaan oleh orang ramai tentang produk minuman tersebut.

5. Berjaya mengaut keuntungan selepas beberapa lama berusaha gigih dalam menarik minat pelanggan. 

6. Kegagalan pertama disebabkan teknik pemasaran yang kurang bijak.


Persekitaran makro yang terlibat:

1. Faktor sosio-budaya dimana melibatkan aspek seperti demografi, gaya hidup masyarakat, perubahan nilai sosial dan juga budaya. Dalam kes produk minuman ini kita dapat melihat faktor sosia budaya ini terlibat dimana gaya hidup masyarakat yang lebih tertarik dengan minuman yang manis. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk mereka menerima produk minuman kesihatan yang sememangnya tidak mengandungi kadar gula tinggi.

2. Faktor teknologi. Hal ini dapat dilihat semasa produk AQUA bekerjasama dengan Danone. Kemudiannya, mereka telah berjaya menghasilkan lebih banyak liter air untuk orang ramai.


Persekitaran mikro yang terlibat:


1. Pencapaian matlamat. Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu menghasilkan produk minuman kesihatan yang boleh membantu orang ramai. Oleh itu, usahawan seperti ini akan berusaha bersungguh-sungguh sehingga matlamatnya tercapai.

2. Minat dan kepuasan diri. Tanpa minat dan kepuasan diri segala usaha tidak akan berjalan dengan jayanya.

Friday, 26 September 2014

Evolusi Keusahawanan

Keusahawanan
Usahawan dan keusahawanan adalah istilah yang seringkali disebut-sebut dalam kehidupan harian kita. Pelbagai definisi dihasilkan untuk takrifan usahawan- pengasas, pemilik firma dan dibezakan dengan bukan usahawan melalui pemilikan atau ciri-ciri gelagat yang dipamerkan.
Entrepreneur berasal daripada Perancis entreprendre yang bermaksud: memikul tugas atau mencuba. Umumnya usahawan ditakrifkan sebagai seseorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan sehingga berjaya dengan motif memperoleh keuntungan. Takrifan sangat luas dan berbeza mengikut individu. Namun terdapat juga berpendapat bahawa entrepreneur’ datang dari perkataan bahasa perancis “entrepredre” yang bermaksud “to undertake”. Dalam bahasa melayu ianya boleh dimaksudkan sebagai “untuk mengambil alih”. Oleh yang demikian didalam bidang pengajian keusahawanan, tidak terdapat satu definisi usahawan yang konklusif kerana sifatnya yang merentas disiplin – (multi-disciplinary).
Secara amnya, takrif usahawan boleh dikelompokkan kepada lima kategori:

1. Pendekatan Ekonomi
Keuntungan dan kekayaan merupakan pendorong kepada usahawan untuk melibatkan diri dalam keusahawanan. Dengan itu, dia akan berusaha mencari peluang mendapatkan untung.

Tokoh yang memberi sumbangan dalam Teori dan Model Keusahawanan

o Alfred Marshal (1946) = usahawan melalui proses masa, iaitu evolusi perniagaan daripada memulakan perniagaan sehinggalah perniagaan itu dibubarkan.

o Israel Kirzner = usahawan sebagai orang tengah dan mengaut keuntungaan.

o Joseph A. Schumpeter (1990) = usahawan ialah orang yang memperkenalkan inovasi sebagai inti keusahawanan.


2.. Pendekatan Psikologi
Ciri-ciri personaliti:

o Keperluan kepada pencapaian
o Lokus kawalan
o Kecenderungan mengambil risiko

Tokoh yang memberi sumbangan dalam Teori dan Model Keusahawanan.

o Rotter (1966) = usahawan mempunyai punca kawalan diri secara dalaman.Model baka menyatakan usahawan memiliki ciri-ciri yang lahir daripada identitinya sendiri.Ciri-ciri ini membezakan diri seorang usahawan dengan bukan usahawan.
o McClelland = Teori kehendak kepada pencapaian. Teori ini menyatakan bahawa usahawan mempunyai kehendak pencapaian yang tinggi dan berani memikul tanggungjawab.

o De Vries = Model Psikodinamik menyatakan bahawa individu tertekan semasa kecil dan tidak mendapat kemudahan tertentu. Justeru, ini mendorong mereka untuk membuktikan kepada dunia tentang keupayaannya.Model Motivasi Keusahawanan McClelland


3. Pendekatan Ideologi
Nilai ideologi bermaksud fahaman yang dianuti atau dipegang oleh seseorang usahawan . Ia membantu pembentukan tingkah laku, personaliti dan sahsiah usahawan . Nilai ideologi akan mengarah kepada keinginan atau keperluan pencapaian seseorang usahawan. Mendorong kepada tindakan keusahawanan.

4. Pendekatan Sosiologi

Dorongan kepada keusahawanan

o Pengalihan negatif – apabila individu yang terasing daripada masyarakat teras atau hilang tempat bergantung, mereka akan cenderung bergiat dalam perniagaan dan menjadi usahawan seperti imigran, individu yang dibuang kerja atau wanita yang bercerai.

o Tempoh peralihan – individu yang melalui tempoh masa yang menyebabkan mereka menjadi uasahawan. Tempoh tersebut membolehkan individu berfikir mengenai masa depan mereka sebagai usahawan. Contoh; antara pelajar dengan kerjaya, askar menjadi orang biasa.

o Tarikan positif – terdapat pihak yang mendorong individu menjadi usahawan. Pihak yang mungkin terlibat ialah mentor, rakan kongsi, keluarga, pelabur dan sebagainya.

o Tolakan positif – wujud situasi di mana individu tidak mempunyai pilihan kecuali menjadi usahawan disebabkan oleh beberapa kelebihan. Antaranya pendidikan, latihan yang diikuti, laluan kerjaya, pengalaman, kemahiran dan lain-lain.


Tokoh yang memberi sumbangan dalam Teori dan Model Keusahawanan dari segi sosiologi
o Max Weber = memasukkan unsur keagamaaan sebagai asas kejayaan seseorang usahawan. Kajian beliau berasaskan penganut agama Protestan yang telah mencapai kejayaannya dalam bidang ekonomi.

o Everett Hagen = menyatakan kelahiran usahawan adalah daripada kalangan kumpulan bawahan yang tidak puas hati merupakan satu tekanan yang mewujudkan usahawan untuk mengatasi kepincangan ini.

o Thomas Cochrau = memasukkan nilai-nilai lain seperti budaya, peranan dan harapan sosial sebagai faktor yang menetukan tingkah laku atau gelagat usahawan.


5. Pendekatan Pengurusan
Perspektif Pengurusan mentakrifkan usahawan sebagai pengurus strategik di mana peranan usahawan ialah untuk memastikan perniagaan memperolehi keuntungan dan berkembang. Contoh: Alat-alat pengurusan strategik digunakan untuk mencapai objektif perniagaan.

Histrich & Peter (1988), berpendapat bahawa keusahawanan adalah suatu proses dinamik untuk mencipta dimana menanggung risiko besar di dalam ‘equity’, masa & komitmen kerjaya atau proses mencipta sesuatu yang baru dengan mengambil kira masa dan usaha dengan mengambil kira risiko kewangan, psikologi & sosial serta menerima manfaat daripadanya.

Kuratko dan Hodgetts (2004) mendefinisikan keusahawanan sebagai suatu proses inovasi dan penciptaan melalui empat dimensi iaitu individu, organisasi, alam sekitar (environment) dan proses, dengan kerjasama rangkaian di dalam kerajaan, pendidikan dan kelembagaan (institution).
 Scaborough dan Zimmerer (1988) mendefinasikan keusahawanan adalah “Seorang yang mencipta suatu perniagaan baru dan menghadapi suatu keadaan yang tidak pasti demi untuk memperolehi keuntungan dan pertumbuhan dengan mengenal pasti peluang dan menyediakan sumber untuk mencapainya. Usahawan selalunya bermula hanya dengan idea yang ada dan selalunya idea yang mudah dan menyediakan sumber yang perlu untuk memindahkan idea tersebut kepada perniagaan yang bersesuaian.”

Hull, Bosley & Udel (1980) mendefinisikan usahawan sebagai individu-individu yang membeli atau mewarisi perniagaan sedia ada dengan niat (dan usaha berterusan) meluaskannya.

Harwood (1982) mendefinasikan, usahawan mengambil inisiatif, andaikan autonomi di dalam organisasi dan pengurusan sumber-sumber, berkongsi risiko aset, berkongsi keuntungan yang tidak menentu dan sebagainya.

Meredith, Nelson & Neck (1982) mengatakan usahawan adalah orang yang mampu melihat dan menilai peluang-peluang perniagaan, menggabungkan keperluan sumber-sumber untuk mengambil peluang serta mengambil tindakan bersesuaian demi memastikan kejayaan.
Sexton dan Bowman-Upton (1991) pula menyatakan ianya merupakan satu proses mengenalpasti peluang-peluang dalam pasaran, menyusun sumber-sumber untuk mencapai objektif dan tindakan seterusnya mengeksplotasi keperluan sumber-sumber bagi kepentingan peribadi dalam tempoh jangkamasa panjang.

Kao (1995) mendefinasikan bahawa keusahawanan merupakan satu proses mencipta sesuatu yang baru (kreatif) dan berbeza (inovatif) bagi tujuan mencipta kekayaan untuk individu dan menambah nilai kepada masyarakat dan usahawan adalah org yg melalui proses penciptaan kekayaan dan nilai tambah tersebut melalui inkubator idea-idea, penyusunan sumber-sumber seterusnya melaksanakannya.


EVOLUSI KEUSAHAWANAN
Pada zaman permulaan:
Bermula zaman marco polo yg melakukan perjalanan perdagangan ke timur tengah.
Menandatangani kontrak perjanjian dengan kapitalis yang merupakan penanggung risiko yg pasif.
Keuntungan akan dibahagikan diantara kapitalis dengan pedagang.

Pada zaman ptengahan:
Mereka sebagai seorang yang terlibat di dalam menjaga & mengawal projek produksi yang besar.
Menggunakan sumber yang disediakan oleh kerajaan.
Mereka tidak menanggung sebarang risiko kerana mereka adalah seorang yang mengawal kerja-kerja pembinaan seperti bangunan awam & gereja.

Abad ke 17:
Terdapat hub diantara risiko & usahawan.
Mereka menandatangani kontrak perjanjian & kerajaan untuk sediakan perkhidmatan atau membekalkan produk yang telah ditentukan.
Harga kontrak adalah tetap jadi rugi atau untung ditanggung oleh usahawan.
Pakar ekonomi richard cantillion berpendapat mereka merupakan penerima risiko.

Abad ke 18:
Mereka dipisahkan daripada pembekal kapital (pemodal).
Ini kerana perkembangan industri dan penciptaan yang berlaku diseluruh dunia. Seperti eli whitney & thomas edison merupakan seorang pengguna kapital, bukan pembekal modal.

Abad ke 19 dan 20:
Bidang pengurusan seperti pereka cipta (mencipta idea, produk, teknologi baru) dikenali sebagai usahawan.

Abad ke 21:
Mereka sebagai seorang hero untuk pasaran free enterprise.
Mencipta banyak produk & perkhidmatan serta sanggup menghadapi banyak risiko.
Ramai orang mengatakan usahawan adalah perintis (pelopor) di dalam mencipta perniagaan baru.

Dengan tercetusnya definisi usahawan dan keusahawanan, wujud 3 tema:
Satu proses-1 siri keputusan dan tindakan yg berterusan.
Inovasi- perubahan, revolusi, perpindahan dan pendekatan baru.
Penciptaan nilai- produk baru, perkhidmatan, transaksi, pendekatan dan sumber-sumber.



Monday, 22 September 2014

4 USAHAWAN BERJAYA DI MALAYSIA


1.     1.   .Syed Osman Bin Syed Rashtan
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjz-349mEakCVzzyA60jnjDvNkgqOvQothWVPP3X5jdwG4qqT-B3PVKAJcn5HMP_UMHVgp7Tqqh3SsnKhsMevFm2iFPkyiYqjONDhaZatfiITv0Ngn9kXNbnIaP5dBv5_vNSXnnoibRyMA/s1600/Sidi+oraza.jpg
BIODATA :
Nama: Syed Osman Bin Syed Rashtan ( Sidi Oraza )
Umur: 46 tahun
Asal : Ayer Itam, Penang, Malaysia
Jawatan: Pengerusi Eksekutif Diversatech (M) Sdn Bhd
Bekas pengarah dan pelakon terkenal sekitar tahun 1990-an iaitu Sidi Oraza memulakan perniagaannya mengeluarkan dan memasarkan baja kimia dan juga organik. Permulaan perniagaannya adalah berbekalkan modal hanya RM 6000 pemberian ibunya, Allahyarhamah Syarifah Zarojam Syed Azgkhar hasil penjualan rumah mereka.

Beliau mengakui terpaksa melalui pelbagai ranjau sebelum mengecapi apa yang beliau ada sekarang. Lebih-lebih lagi sewaktu kegawatan ekonomi sekitar pertengahan tahun 1990-an. Walau bagaimanapun beliau sentiasa berpegang pada prinsip ‘usaha adalah tangga kejayaan’ dan sentiasa ingat kepada Allah. Hal ini yang membolehkan beliau sentiasa kuat mengharungi semua ranjau itu.
Perniagaan yang dimulakan Sidi atau nama sebenarnya ialah Syed Osman Syed Rastan, 46, menerusi syarikat yang ditubuhkannya sejak 13 tahun lalu iaitu Diversatech (M) SDN BHD. Syarikat beliau terus berkembang dengan pasaran bukan sahaja di Malaysia malah luar negara. Sebagai contohnya ialah negara Indonesia dan di asia barat. Tambahan pula, dorongan abangnya, Prof Madya Dr Syed Omar yang juga pakar dalam bidang pertanian membuka laluan untuk menceburi bidang pengilangan dan pemasaran baja.


Hasilnya, produk keluaran syarikat beliau telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi anjuran Kementerian Sains dan Teknologi dan Alam Sekitar bagi Produk Vita Grow pada 2001, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa Geneva bagi produk Zappa pada tahun 2002.

1.     2.    Faiza Bawumi Sayed Ahmad
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiZD0zGAbK8Rwz_VyLKu0CmZzA4aIk4SXHVUMNLU5VN8PvsryxcHyz2na7W8RWHpWgaNqcRzH4-JlppPHTF69yw-j93eVNJO65cRdxqY6sx3lRo53GSXpsz2l7Z7utPUYXttTtW1-ngCK0/s1600/va_01.2.jpg
Biodata:
Nama: Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Umur: 69 Tahun
Asal: Mesir
Jawatan: Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd
Pendidikan: Diploma Jahitan

Menurut faiza, beliau telah datang ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya. Beliau seorang yang tidak betah duduk diam. Disebabkan beliau mempunyai diploma dalam jahitan maka beliau telah mengambil upah menjahit sulaman dan menjual pelbagai barangan dapur. Selain itu, beliau turut membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya dan mengedarkannya di kedai-kedai. Setelah mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum beliau menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai yang lain bangi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Berkat respon yang positif, beliau memohon lesen pemborong beras dan telah menjual pelbagai jenis beras termasuk beras ponni, basmathi, beras wangi dan beras Siam.

Malahan, beliau juga tidak menyangka atas kejayaan beliau kini yang diperoleh bukan dengan mudah. Pengalamannya sebagai juruwang di kedai bapanya dahulu telah mendorongnya bergiat terus menjadi seorang peniaga. Beliau telah mengharungi segala cabaran selama 43tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Kini, beliau telah mempunyai 200 orang pekerja tetap dan lebih 300 orang pekerja kontrak. Beliau berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Lebih membanggakan kini syarikat milik Faiza mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini termasuk yang paling dikenali, “Herba Ponni Taj Mahal” dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan yang paling terbaru ialah rempah Rendang. Semua rempah ini mempunyai rasa yang berbeza dan telah mendapat tempat yang tinggi di hati para pelanggan.

1.      3.   Taib Muda
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhXR5iiA_iptOM4q2B7X9usoKqh3NVon34csctROAjwgt1hz_E2NoDgCNh006EK3_cKzSaFb7ovkdBJbs76qlSQz5TStFtLg_SH374AgX_5ppwof0vc4RTP5vV4uynn02f4QJXcBi1bvW0/s1600/images1.jpg
Biodata:
Nama: Datuk Yusuf Taiyoob
Jawatan: Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
Asal: Georgetown, Pulau Pinang
Umur: 52 tahun
Isteri: Datin Yusnita Ramli
Anak: Waseem (9), Safiya (6), Dan Safina (3)
Adik beradik: Anak sulung daripada empat beradik
Jenis perniagaan: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering, dan jus buah-buahan

Nama Yusuf Taiyoob sememangnya nama yang cukup dikenali dalam negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma. Apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta. Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Prinsip utama dalam hidup beliau ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja kerana beliau lebih suka menjadi bos atau ketua walaupun beliau terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan juga pengalaman pahit. Hasilnya, beliau telah menempah kejayaan besar dalam hidup beliau. Kini syarikat miliknya iaitu Yusuf Taiyoob Sdn Bhd telah menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negera untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3000 rangkaian pengedar di seluruh negara. 

1.     4.    Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEggV8AiUstZ8FFLiLBHY9WUk4FsGBPPhCjaP1r4jsAFCuV-rnvAWdPoTcAdceWuUWRGnq8YWXDTBTwSJEoGC1Tw97mPulqVUkq2UjGVv3VB9VjpDDF-elv37L-PnsLlufvs_VzN9fvvs6w/s320/54699504th8.jpg
Biodata:
Nama: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
Umur: 35 tahun
Asal: Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
Adik beradik: Keempat daripada enam beradik
Jawatan: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd ( Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd )
Pendidikan: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
Pencapaian: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)

Pada usia 35 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM9 juta.

Walaubagaimanapun, ketika menemui beliau, beliau merupakan usahawan yang sangat merendah diri. Beliau berkata bahawa segala kejayaan yang beliau miliki kini adalah ketentuan daripada Allah S.W.T. Beliau hanyalah berusaha. Tekad yang menggambarkan liku-liku perjalanan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh sebelum bergelah usahawan muda Melayu negara yang berjaya. Beliau adalah pemilik rangkaian operasi bas yang sedang meningkat naik iaitu Sani Express di bawah kendalian syarikat Sani United Sdn Bhd (SUSB).

Biarpun baru berusia 35 tahun tetapi Wan Mohammad Sani sudah menggenggam pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Usahawan Muda, anugerah yang dinobatkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), baru-baru ini. Malah, beliau dianggap ikon generasi muda dalam dunia perniagaan masa kini.

Sebab utama beliau mula menceburi bidang perkhidmatan bas ini adalah kerana beliau pernah mempunyai pengalaman menaiki pelbagai perkhidmatan bas ketika beliau masih remaja. Berdasarkan pengalaman itulah yang menjadi pendorong utama kepada beliau untuk membuat kajian terperinci, menganalisis dan menstruktur strategi. Akhirnya, pada Januari 2006, beliau melaksanakan hasratnya dengan tertubuhnya Syarikat Sani Express.











Saturday, 20 September 2014

Sistem Ekonomi Dahulu Hingga Kini

SISTEM EKONOMI DI MALAYSIA DULU HINGG KINI
Berdasarkan daripada fakta sejarah, kegiatan ekonomi di Tanah Melayu bermula sejak dari zaman logam lagi. Pada ketika itu, kegiatan ekonomi yang dijalankan dalam bentuk pertanian bercucuk tanam dan penternakan. Pertanian merupakan asas dan asal ekonomi hampir keseluruhan negara di dunia ini. Malangnya, akibat perubahan masa struktur ekonomi ini telah berubah dengan memasukkan sektor perindustrian dan sektor-sektor lain. Ianya berlaku sama ada secara sengaja atau secara sendiri. Oleh itu, terdapat beberapa perkembangan ekonomi yang boleh kita ketahui iaitu era pra penjajahan, era penjajahan, era kemerdekaan dan era baru kini.
Pada era prapenjajahan, bercucuk tanam dan penternakan adalah satu kegiatan sara diri yang menandakan bermulanya kehidupan yang saling bergantungan antara satu sama lain. Contoh barang-barang yang diperdagangkan pada era ini ialah emas, manik, besi, bijih timah, daging dan rempah ratus. Maka wujud beberapa pusat perdagangan menjadi tumpuan pedagang luar seperti di Guar Kepah dan Pengkalan Bujang, Jederam Hilir (Selangor) dan Kuala Selinsing (Perak).
Selain itu, pembukaan Melaka oleh Parameswara telah membuka lembaran baru dalam sejarah politik dan ekonomi semenanjung Malaysia. Parameswara dinyatakan oleh para sejarawan mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira penghujung abad ke-14. Apabila beberapa buah kerajaan Melayu tua seperti kerajaan Kedah Tua ditubuhkan kegiatan ekonomi bertambah rancak sehingga menjadi pelabuhan antarabangsa dengan kapal-kapal dari India, China, dan Asia Barat singgah untuk berlabuh.
Dari segi pertanian, penanaman padi dan tanaman lain termasuklah kelapa, pisang dan buah-buahan dijalankan secara tradisional dan secara kecil-kecilan. Kegiatan ekonomi umumnya didapati melalui gotong-royong , buruh keluarga dan sebahagiannya melalui tenaga kerahan. Pembesar negeri atau golongan bangsawan biasanya memungut cukai hasil pertanian dan barang dagangan sebagai hasil negara.
Seterusnya, pada era penjajahan pula Tanah Melayu telah dijajah kuasa asing selama 446 tahun bermula pada tahun 1511 sehingga 31 Ogos 1957 yang melibatkan negara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Hal ini demikian, barang-barang yang diminati di Eropah adalah emas, rempah dan kain sutera. Mereka telah meninjau dan menguasai kekayaan tersebut apabila melihat kemakmuran dan kepesatan ekonomi di samping kedudukan strategik iaitu di tengah-tengah jalan laut timur barat. Portugis dan Belanda menjajah Tanah Melayu selama 313 tahun. Namun begitu penjajahan mereka di negara kita kurang memberi kesan kepada ekonomi negara kecuali penerusan aktiviti yang telah sedia ada, kerana tidak bertindak untuk mengeksploitasi sumber secara besar-besaran. Pada tahun 1824, Perjanjian Inggeris-Belanda telah membuka era penjajahan British di Tanah Melayu. Bermula pada saat itu berlaku perubahan besar dalam ekonomi hasil daripada campur tangan British ke atas hal ehwal ekonomi, politik dan sosial Tanah Melayu dan sekali gus mengubah struktur ekonomi dan politik Tanah Melayu. Tanah Melayu dikuasai oleh Inggeris tidak melalui kekerasan atau peperangan tetapi melalui sistem diplomasi melalui sistem penasihat. Kuasa pemerintah terlucut sedikit demi sedikit daripada raja yang memerintah. Seterusnya, sektor perlombongan beralih tangan kepada pemodal-pemodal Inggeris apabila mereka mempunyai keupayaan modal. Para pemodal Inggeris, telah menguasai lebih 65 peratus daripada jumlah keluaran timah dan lebih daripada 75 peratus kawasan perladangan getah di negara ini pada tahun 1930an dan makin meningkat sehingga negara merdeka.
Disamping itu, pada era kemerdekaan ekonomi Malaysia bergantung pada pengeluaran dan eksport getah dan bijih timah. Pengeluaran dan eksport kedua-dua komoditi ini adalah yang terpenting pada awal tahun 1960an. Walaupun Malaysia merupakan pengeluar terbesar kedua-dua komoditi tersebut, harga getah adalah di luar kawalannya. Ia dipengaruhi oleh pembeli iaitu negara-negara maju. Bagi mengurangkan masalah yang dihadapi berikutan turun naik harga, struktur ekonomi negara perlu diubah suai. Rancangan ekonomi yang pertama (RPE 1) atau juga dikenali sebagai Rancangan Malaya ekonomi yang meliputi tahun 1956-60 buat kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan. Pada tahun 1956 lembaga kemajuan Tanah persekutuan (FELDA) ditubuhkan bertujuan untuk mengatasi masalah petani yang kekurangan Tanah di samping meningkatkan pendapatan dan kehidupan keluarga petani. Pada dekat 1980an merupakan dekad yang penuh cabaran bagi ekonomi Malaysia. Untuk menggerakkan ekonomi, kerajaan mengambil langkah melibatkan diri dalambeberapa bidang industri berat. Penglibatan ini adalah juga bagi mengurangkan pergantungan ke atas import barangan modal dan memodenkan serta mempelbagaikan lagi sektor perkilangan.  Penglibatan langsung kerajaan dalam kegiatan ekonomi ketika ekonomi dunia dilanda kemelesetan telah membawa beberapa masalah kepada ekonomi negara. Keadaan menjadi lebih teruk berikutan kejatuhan hampir kesemua harga komoditi utama pada tahun 1985 disebabkan oleh kemelesetan ekonomi. Ianya juga turut menjejaskan kedudukan kewangan negara. RPE2 dilancarkan pada tahun 1991. Namun kedua-dua RPE masih memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang merupakan tunjang ekonomi Malaysia pada ketika itu.
Era Baru Kini
Di alam tahun 2007, ekonomi Malaysia adalah negara yang mempunyai ekonomi ke-29 terbesar di dunia. Ada dua konsep yang digunakan untuk mengukur pendapatan negara iaitu Keluaran Negara Kasar (KNK)  dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kedua- dua konsep ini dipanggil kasar kerana nilai tersebut termasuk susut nilai. Keluaran dalam negara kasar bagi tahun 2007 dianggarkan berjumlah $357.9 bilion dengan suatu kadar tumbesaran sebanyak 5% hingga 7% semenjak 2007. KNK mengukur nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh factor-faktor pengeluaran yang dimiliki oleh sesebuah negara, sama ada mereka berada dalam negara itu sendiri ataupun di luar negara. Faktor-faktor pengeluaran di sini yang bermaksud sumber-sumber yang menghasilkan barangan dan perkhidmatan tersebut iaitu  sumber asli seperti tanah, modal, tenaga buruh dan pengurusan. Contohnya ialah terdapat rakyat Malaysia yang bekerja di Amerika. Pendapatan yang dihantar balik oleh pekerja ini akan diambil kira pendapatan yang dihasilkan oleh warganegara kita, sebarang pendapatan yang diperoleh oleh warganegara asing di negara kita tidak merupakan sebahagian daripada KNK.
Sementara KDNK pula mengambil kira nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh semua faktor pengeluaran yang terdapat dalam sesebuah negara tanpa mengira pemiliknya. Konsep ini turut mengambil kira barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh rakyat asing yang tinggal dan bekerja di negara kita. Ianya mengukur jumlah pengeluaran dalam sesebuah negara tanpa mengira sama ada pengeluaran itu dihasilkan oleh penduduk tempatan atau luar negara. Oleh sebab itu ia dipanggil keluaran dalam negara.
Pertumbuhan ekonomi negara perlu dicapai tanpa menjejaskan sumber semula jadi Malaysia. Negara tidak akan mencapai status berpendapatan tinggi sekiranya pendapatannya hanya diperolehi daripada hasil sumber semula jadi. Selain itu, Malaysia akan berfokus kepada pelaburan yang dipacu oleh  sektor swasta supaya tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan Kerajaan. Seperti yang dinyatakan dalam  Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskalnya daripada 7 peratus pada 2009 kepada 3 peratus pada 2015. Dari aspek alam sekitar pula, kerajaan komited terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kerajaan akan memastikan bahawa sumber alam sekitar dinilai sewajarnya dan kos penuh pembangunan difahami sebelum keputusan pelaburan dilaksanakan.
Pada masa ini, sektor pembuatan iaitu perkilangan menjadi sektor utama dalam ekonomi negara. Setelah berdekad lamanya menumpukan usaha mempelbagaikan ekonomi, baik dalam sektor pertanian mahupun industry, kini ekonomi Malaysia kurang terdedah kepada turun naik harga komoditi. Sektor pembuatan juga merupakan sektor yang membantu ekonomi negara keluar daripada kemelut kemelesetan ekonomi pada tahun 1998. Sumbangan sektor ini terhadap eksport negara telah memperkukuh kedudukan rizab negara. Di samping itu, sektor perkhidmatan merupakan sektor yang menjadi semakin penting terutamanya dengan perkembangan pesat industri maklumat dan pentingnya ekonomi kepada negara. Malahan kerajaan juga telah menggalakkan pertumbuhan dalam sektor teknologi maklumat dan teknologi bio. Hal ini demikian, kedua-dua sektor ini dijangka akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan perkembangan sektor ini di arena antarabangsa.